♥ Ya ALlah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Engkau.. Engkau mencipta-kanku, aku hamba-Mu dan ikrar pada-Mu semampuku... Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan apa yang aku perbuat, aku mengakui terhadap nikmat-Mu terhadapku dan aku mengakui atas dosaku, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau..amin ya Robb...♥

.::.Syukran!.::.

.::.JeMpuT SinGGaH.::.

.::.Peringatan Bersama.::.


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, November 18, 2009

Khazanah Alam: Hutan Paya Bakau

Bismillahirrahmanirrahim... entry kali ini inshaAllah adalah berkisarkan tentang hutan paya bakau...Suatu perkongsian daripada ilmu yang telah ku pelajari sewaktu masih sebagai pelajar ijazah pertama di bumi Terengganu...Mungkin apabila disebut hutan paya bakau, yang terlintas di benak kita hanyalah pokok-pokok bakau yang akarnya naik keatas bumi...membentuk komuniti pokok yang lain dari kebiasaan pokok di hutan belantara... Namun, hakikatnya bukan sahaja pokok bakau yang akarnya unik itu sahaja yang mewarnai hutan paya bakau ini...banyaklagi spesis dan hidupan lain yang turut bersama mewarnainya...

Hutan paya bakau membentuk suatu komuniti yang mempunyai perlindungan unik di sepanjang kawasan pasang surut pantai, di kawasan tropika dan separa tropika. Ia terbentuk daripada pelbagai spesis pokok dan belukar (MacNae, 1968; Dawes, 1997). Komuniti yang terbenuk daripada pelbagai spesis pokok bakau dikenali sebagai ’Mangal’. Menurut Lugo dan Snedaker, 1974; Clintron et al., 1985; Woodroffe, 1992; Dawes, 1997, terdapat enam jenis mangal.

Perkaitan antara setiap jenis adalah berpandukan kepada ’hydrodinamik’ atau lebih mudah ditaarifkan sebagai pergerakan air di kawasan terbabit. Antara jenis- jenisnya adalah di lembah sungai, tepian kiri dan kanan sungai, piggiran, tenggelam penuh dengan air, belukar dan ayunan-’hammock’. Kepelbagaian taksonomi dan famili yang terdapat dalam mangal menunjukkan bahawa komuniti mangal adalah bukan terbentuk secara semulajadi namun adalah disebabkan oleh evolusi yang berlaku dalam adaptasi kepada ekologi ( Duke, 1992; Dawes, 1997).

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kepelbagaian spesis bakau yang paling banyak di dunia. Keluasan hutan paya bakau di Malaysia adalah meliputi 300 000 hektar. Hutan paya bakau di Larut Matang, Perak meliputi sebanyak 43 000 hektar, dimana ia merupakan kawasan terbesar hutan paya bakau di semenanjung Malaysia.ianya adalah merangkumi Kuala Sepetang, Kuala Trong dan Sungai Kerang. Antara kawasan lain yang mempunyai hutan paya bakau adalah seperti Kertih,Terengganu, delta sungai Kelantan, Kuala Sungai Merbok dan Langkawi di Kedah, Sungai Johor, Sungai Piai, Sungai Pulai dan Pulau Kukup di Johor, Kuantan dan Kuala Rompin di Pahang.

Sewaktu aku di semester lima pengajian, aku telah berpeluang ke hutan paya bakau di Kertih, Kemaman Terengganu... kerja-kerja seperti pengecaman pokok bakau, penanaman semula, inventori hutan bakau dan sebagainya telah dijalankan... Antara spesis bakau yang dijumpai di hutan paya bakau Kertih, Kemaman adalah seperti Acrosticum speciosum, Acrosticum aureum, Brugueira parviflora, Exoecaria agallocha, Xylocarpus granatum, Nypa frutican, Ceriops decandra, Aegiceras corniculatum, Caesalpinia bonduc, Avicennia lanata , Avicennia marina dan Rhizophora apiculata.

Acrosticum speciosum

Acrosticum speciosum (mangrove fern) dari famili Pteridaceae dikenali dengan nama tempatan sebagai Piai Lasa. Teknik pengecaman pokok ini adalah melibatkan beberapa aspek utama iaitu aspek ekologi dan morfologi pokok. Aspek ekologi yang diperhatikan adalah kawasan taburannya, dimana spesis ini adalah mendominasi kawasan redup di bawah pohon-pohon bakau yang lebih besar, seterusnya tumbuh melata dan membentuk koloni. Aspek morfologi pokok yang diperhatikan adalah melalui akar, daun dan ketinggian pokok. Spesis ini tidak mempunyai akar diatas tanah yang nyata. Hujung daun adalah fertil dan berwarna coklat, dan saiz daunnya adalah lebih kecil daripada Acrosticum aurem. Spesis ini boleh mencapai ketinggian sehingga 3 meter.


Acrosticum aureum

Acrosticum aureum (Giant Mangrove Fern) dari famili Pteridaceae dikenali dengan nama tempatan sebagai Piai Raya. Spesis ini mendominasi kawasan yang lebih terdedah kepada cahaya matahari. Ini disebabkan oleh daun yang lebih besar daripada Acrosticum speciosum, dan melibatkan keperluan kepada lebih cahaya untuk penjanaan tenaga melalui fotosintesis untuk keperluan hidup. Di Kertih, spesis ini dijumpai hidup menumpang diatas pokok Dungun atau Heritiera littoralis. Daunnya mempunyai panjang dari 1 hingga 3 meter, manakala ketinggian pokok ini juga boleh mencapai shingga 3 meter.

Brugueira parviflora

Brugueira parviflora atau Tenggadai daripada famili Rhizophoraceae boleh tumbuh di semua kawasan hutan paya bakau. Ketinggian spesis ini boleh mencapai 20m. Pengecaman pokok lebih mudah dengan melihat kepada akar lutut( pneumatuphore) yang dimiliki oleh semua spesis di dalam genus ini. Akar lutut boleh mencapai ketinggian sehingga 30 cm. Daunnya pula berbentuk elips dengan hujung yang meruncing. Kelopak bunga yang dipunyainya adalah 8 dan mempunyai panjang 8 hingga 15cm. Propagule nya adalah berbentuk spiral. Brigueira gymnorrhiza atau Tumu Merah memiliki kulit pokok yang berwarna coklat gelap atau hitam. Saiz buah adalah lebih kecil dan bunga yang terbit dan bersaiz 30 hingga 50cm mempunyai 10 hingga 14 kelopak.

Exoecaria agallocha

Pokok buta-buta atau secara saintifiknya dikenali sebagai Exoecaria agallocha tergolong dalam famili Euphorbiaceae, iaitu famili yang sama seperti pokok getah yang terdapat di kawasan daratan. Pokok ini dijumpai mendominasi kawasan yang tidak terdedah secara terus kepada pasang surut air. Pengecaman mudah dapat dilakukan dengan melihat pada batang dan bahagian pokok lain yang mengeluarkan cecair putih susu apabila ditoreh. Buahnya adalah sama seperti buah getah dengan mempunyai tiga bahagian yang memuatkan biji benih. Namun, saiznya adalah 100 kali lebih kecil daripada buah getah. Saiz biji benih yang kecil dan mudah dibawa ke bahagian atas kmuniti bakau oleh air pasang. Ini dapat menerangkan tentang mengapa taburan pokok ini lebih mendominasi di kawasan yang tidak terdedah secara terus kepada pasang surut air.

Nypa frutican

Nipah atau Nypa frutican yang amat sinonim sebagai sumber makanan bagi penduduk Malaysia terutamanya yang menetap di kawasan paya bakau. Spesis bakau ini dijumpai mendominasi di bahagian depan muara sungai. Namun terdapat juga spesis ini di bahagian tengah komuniti bakau. Ini disebabkan oleh bentuk dan saiz biji benih yang bulat dan besar, dimana ia akan tersekat di kawasan awal pendaratan apabila dibawa air pasang. Jika biji benih jatuh ke dalam air sewaktu air pasang, biji benih tersebut akan dibawa arus untuk menghuni di kawasan yang lebih keatas, manakala jika ianya luruh di waktu air surut, ia akan bercambah seterusnya hidup di kawasan muara- muara sungai sahaja.

Spesis unik lain iaitu Ceriops decandra yang dikenali sebagai Tengar turut mendominasi kawasan muara Sungai Kertih, berdekatan komuniti pokok Rhizophora sp. Dan Avicennia sp. Pokok ini mempunyai ketinggian yang tidak melebihi 10m. Akarnya adalah dari jenis pneumatofor. Bunganya mempunyai 5 kelopak berwarna hijau dan mempunyai lentisel dan berbintil. Buah atau hipokotilnya adalah berbentuk silinder yang mempunyai hujung yang sedikit menggelembung dan berbintil warna hijau hingga coklat. Panjag hipokotil adalah ±15cm dan mempunyai diameter 8 hingga 12mm.

Aegiceras corniculatum

Aegiceras corniculatum atau lebih dikenali sebagai Kuku Helang daripada famili Myrsinaceae mempunyai ketinggian 6m sahaja. Pengecaman dibuat melalui kulit pokok yang berwarna kelabu dan licin. Bunganya mempunyai 5 kelopak dan berwarna putih dengan saiz yang kecil. Terdapat 15 hingga 20 bunga yang berbau seperti pisang busuk. Buahnya yang mempunyai panjang 5cm, berwarna hijau hingga merah jambu( jika matang) dan berbentuk tiris di hujung, seperti kuku helang memudahkan lagi pengecaman dilakukan.

Akar Avicennia sp.

Avicennia lanata dan Avicennia marina yang tergolong di dalam famili Avicenniaceae dan lebih dikenali dengan panggilan api-api bulu dan api-api jambu mendominasi kawasan muara sungai kertih. Pengkhususan zon habitat ini boleh diterangkan melalui faktor biji benih. Biji benih avicennia yang lebih kecil membolehkannya untuk melekat pada lumpur. Beberapa adaptasi terhadap kekurangan oksigen, akibat dari ketebalan lumpur dapat diperhatikan seperti percambahan pneumatofor.Pneumatofor digunakan sebagai tempat penyimpanan oksigen. Api- api mempunyai adaptasi yang tinggi terhadap kemasinan yang tinggi. Api-api bulu dapat mencapai ketinggian sehingga 30m. Kulit pokoknya berwarna kelabu dan mempunyai retak rekahan. Daunnya adalah berbentuk elips, hujung membundar dan meruncing, dan mempunyai ukuran 9x5 cm.bahagian bawah daun mempunyai bulu. Bunganya pula berwarna jingga atau kuning dan mempunyai 5 kelopak. Buahnya adalah lebih besar daripada A.marina dan diselaputi bulu halus.ukurannya adalah 1-5 x 2-5cm. Api-api jambu mempunyai ketinggian kurang 12m dan batangnya mempunyai kulit yang berwarna coklat kemerahan dengan berkulit lembut dan nipis. Daunnya adalah berukuran 9 x 4-5cm. Bahagian bawah daun mempunyai kelenjar khas untuk merembeskan garam. Selain itu, rantingnya adalah berbentuk segi empat.

Caesalpinia bonduc

Caesalpinia bonduc adalah merupakan spesis ’non-associated’ yang menjalar pada pokok yang lebih besar seperti Nypa frutican. Daunnya berbentuk bulat dan berwarna hijau. Diameter daun adalah 1-2cm. Spesis pokok ini adalah jarang ditemui.

Nyireh dijumpai mendominasi zon kawasan yang lebih jauh dari tebing sungai. Ini adalah disebabkan buahnya yang besar dan berat untuk dilarikan arus. Spesis ini tidak boleh bertoleransi dengan kawasan yang terlalu masin. Kulit pokoknya adalah berwarna merah jambu dan menyerupai kulit pokok jambu batu. Pokok ini dapat mencapai ketinggian 25m. Daunnya adalah berbentuk elips, oval dan hujung yang membundar dengan ukuran 4-17cm x 2-9cm. Daunnya adalah tebal dan berpasangan. Namun terdapat juga daun yang tidak berpasangan. Bunganya pula terdiri dari jenis biseksual atau betina sahaja dan berwarna merah jambu dengan 4 kelopak. Nyireh mempunyai buah yang berbentuk seperti kelapa dan dalamnya berbentuk’puzzle’ yang terdiri daripada 12-18 biji yang akan pecah apabila telah kering. Ukuran diameter buahnya adalah 10-20cm dan ia berwarna coklat-keemasan apabila telah masak.

Bakau minyak adalah pokok terbanyak yang mendominasi kawasan tebing sungai yang tinggi dengan kemasinan apabila air pasang. Adaptasi tinggi pokok ini terhadap kawasan tebing adalah dapat dilihat daripada jenis akar yang tumbuh, iaitu ’prop root’atau akar tegak dengan ketinggian sehingga 5m. Selain itu, spesis ini juga mempunyai akar udara yang keluar daripada dahan pokok, iaitu ’drop root’. Jenis pokok ini dapat mencapai tinggi sehingga 30m. Daun pokok ini berbentuk elips menyempit dan hujung meruncing dengan ukuran daun 7-19cm x 3-8cm. Bunga berwarna kekuningan dan terletak pada tangkai berukuran kurang 14mm. Bunganya mempunyai 4 kelopak yang seterusnya membentuk buah yang bulat memanjang dan berwarna coklat dengan ukuran 2-3cm. Buah kemudiannya membentuk hipokotil yang berukuran 30-40cm.



Rujukan:
Dawes, C.J.1997. Marine Botany 2nd Edition. John Willey& Sons, Inc.267-302pp
Ibrahim, S., Alias, A.H. 2007.Modul Amali Ekologi Muara dan Bakau.FMSM, UMT.148pp.


6 comments:

  1. Salam,

    Kayu bakau ni sgt sesuai buat arang. Teringat dokumentari di Astro 'Suri Kuala Sepetang' yg turut serta bekerja di kaw. kilang..sgt mengharukan..

    ReplyDelete
  2. pernah memijak-mijak lumpur di bakau, 'rukuk' berjam2 di bawah pokok bakau demi mencari pengalaman ilmu.

    ReplyDelete
  3. nohas
    wsalam...betul2..antara kegunaan sesetengah spesis bakau(spt bakau minyak/Rizophora sp.) adalah dalam pembuatan arang...dokumentari tsbt pastinya sangat menarik kan...sy tak berpeluang melihatnya...d rumah xd astro:)

    pck
    iye pck? bakau d kawasan mana yang pck pg? biodiversiti di kawasan bakau sangat padat...hingga sekarang takde lagi saintis yang berjaya mengkaji sebahagian besar hidupan d hutan paya bakau...

    ReplyDelete
  4. Achrosticum aureum..huhu, teringat tesisku.

    ReplyDelete
  5. jalinan
    ha`ah kan, bu buat pasai Acrosticum aureum...:)

    ReplyDelete
  6. betol ke Caesalpinia bonduc tu nama pokok tu. setahu saya Caesalpinia bonduc adalah pokok yang satu lagi. buah dia keras. pokok yang ada dekat dalam gambar tu rasanya tak ada buah.

    ReplyDelete

.::.Jom Kuliah.::.

Merah: Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi Koko : Masjid Jamek, Kajang Hijau: Surau Saujana Impian, Kajang