♥ Ya ALlah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Engkau.. Engkau mencipta-kanku, aku hamba-Mu dan ikrar pada-Mu semampuku... Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan apa yang aku perbuat, aku mengakui terhadap nikmat-Mu terhadapku dan aku mengakui atas dosaku, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau..amin ya Robb...♥

.::.Syukran!.::.

.::.JeMpuT SinGGaH.::.

.::.Peringatan Bersama.::.


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, July 1, 2009

Ada Apa Pada PPSMI??


“Bahasa Melayu Terikat Dengan Adat, Disimpul Bahasa Dan Disalut Agama”

(Raja Nazrin Shah UKM, 10 Mac 2009)


1.0 PENDAHULUAN

Gagasan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ini diperkenalkan pada tahun 2003 untuk dilaksanakan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah seluruh negara. Mesyuarat khas jemaah menteri pada 17 Julai 2002 telah mengambil ketetapan tersebut dan dilaksanakan pada tahun berikutnya. Pelajar tahun satu sekolah rendah, pelajar tingkatan satu sekolah menengah dan pelajar tingkatan enam rendah membuka lembaran sejarah dengan memulakan pengajian dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran sains dan matematik. Maka, pada tahun 2007 lengkaplah perlaksanaan PPSMI di sekolah menengah manakala tahun berikutnya di sekolah rendah. Rasional perlaksanaan PPSMI adalah berhubung keperihatinan kerajaan tentang pembangunan sumber manusia untuk mencapai negara maju serta persaingan di peringkat globalisasi. PPSMI memudahkan proses pemindahan ilmu serta diharapkan dasar ini dipertingkatkan penguasaan matematik di kalangan pelajar. (Mat Rofa Ismail 2009:1)

Menurut Mook Soon Sang (2009), reformasi KBSR dan KBSM ini telah berterusan sehingga tahun 2008 dan 2007 masing-masing apabila semua murid sekolah kebangsaan telah menjawab soalan-soalan Sains dan Matematik dengan Bahasa Inggeris buat pertama kali dalam UPSR atau SPM, manakala pelajar-pelajar STPM telah menjawab soalan-soalan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris mulai tahun 2004.

Perlaksanaan PPSMI segera mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat. Ada kumpulan yang menentang pelaksanaan PPSMI dan ada pula yang menyokong. Bagi kumpulan yang tidak bersetuju, mereka melihat gagasan ini sebagai bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan pindaan 1996, yang mempertahankan bahasa melayu sebagai bahasa teras pendidikan. Menurut mereka lagi, perlaksanaan ini benar-benar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa utama Negara (Mat Rofa Ismail 2009: 1). Ia bukan sahaja bercanggah dengan perlembagaan persekutuan malah jika dianalisa daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), percanggahan juga berlaku. Ini kerana salah satu cara untuk membangunkan negara bangsa ialah melalui bahasa. Lebih menjurus, dengan menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan. Namun apa yang terjadi kini ianya sudah lari daripada apa yang sepatutnya dilaksanakan.

Perlaksanaan dasar PPSMI ini dilihat memberi kesan yang buruk terhadap generasi melayu pada masa akan datang. Menurut Ungku Aziz Ungku Abdul hamid, ia dilihat sebagai penyumbang ke arah keburukan bagi pengembangan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi di negara ini. Malah, dasar itu secara terang-terangan menidakkan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi dalam keadaan negara kini menuju ke arah negara maju. Kesannya, kita akan lihat bahasa Melayu akan terus ketinggalan dan akhirnya menyebabkan kematian bahasa kebangsaan itu sendiri.

Selain daripada itu, Kongres Pendidikan Melayu Ke-2 yang dianjurkan pada bulan Mac 2005 secara lantang menyatakan bahawa kira-kira 500 ribu orang pelajar melayu akan keciciran dalam sains dan matematik akibat kegagalan menguasai bahasa Inggeris. Maka, akan lebih ramai lagi kanak-kanak akan menjadi mangsa sekiranya kerajaan tetap meneruskan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik yang mengingkari prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa. Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.

Bill Templer, seorang pensyarah pelawat kanan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu suratnya kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka. Ini merupakan kesan yang terhadap pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan pembelajaran yang mencukupi.


2.0 PPSMI DALAM KONTEKS PERLEMBAGAAN

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat jels di dalam Per. 152; segala urusan rasmi baik di peringkat persekutuan dan negeri hendaklah dijalankan dalam bahsa itu. Selain Per. 152 ada banyak peruntukan lain yang turut memperkasakan peruntukan berkenaan. Sebagai contoh Per. 150 (6A) yang mengecualikan bahasa dari disentuh oleh kuasa darurat. Begitu juga dengan Per. 160(2) mengenai kepentingan bahasa dalam definisi Melayu di sisi perlembagaan. Per. 10(4) yang tidak membenarkan kedudukan Bahasa Melayu dipertikaikan meskipun atas nama kebebasan bersuara. Kewujudan Per. 152 juga tidak boleh dipadam kerana Per.159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidaklah sampai ke tahap menafikan kedudukan dan hak bahasa-bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan diperkembang hatta dengan menggunakan dana awam sebagaimana yang diungkapkan oleh Per.152(1)(a) dan (b). Terdapat pengecualian kepada penggunaan bahasa Melayu oleh Yang DiPertuan Agong tetapi PPSMI tidak boleh dihujah sebagai sesuatu yang dibenarkan apalagi apabila ia tidak dilakukan melalui Parlimen. Keputusan tersebut hanyalah dasar yang dibuat oleh pihak eksekutif secara tiba-tiba. (Abdul Aziz Bari 2009: 1)

3.0 STATISTIK TERKINI

Tahun 2008 adalah tahun terpenting dalam menilai sejauhmanakah keberkesanan PPSMI di sekolah rendah dan menengah. Ini kerana, kesemua peringkat pembelajaran di Malaysia berdepan dengan peperiksaan dalam bahasa inggeris, iaitu bermula daripada sekolah rendah hinggalah sekolah menengah. Pada tahun inilah pelajar-pelajar perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) buat pertama kalinya. Statistik terkini yang diperolehi daripada tiga peperiksaan penilaian sumatif terpenting di malaysia iaitu Ujian penilaian sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan prestasi murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tidak terjejas.

Statistik bagi peperiksaan UPSR untuk tahun 2008 menunjukkan Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Menurut Kementerian Pelajaran, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya. Daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris. Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris (Abdullah Morad 2008)

PMR pada tahun 2008 pula menunjukkan menyaksikan prestasi cemerlang gred A dalam mata pelajaran Matematik, iaitu peningkatan ketara kepada 25.6 peratus berbanding purata 22.1 peratus dalam tempoh lima tahun sebelumnya, manakala 87.3 peratus melepasi tahap penguasaan minimum (gred ABCD). Prestasi gred A bagi mata pelajaran Sains turut meningkat kepada 17.2 peratus daripada purata 16.4 peratus purata dari 2003 hingga 2007. Seramai 472,060 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini dengan 26,378 pelajar atau 5.96 peratus mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat 0.83 peratus berbanding purata keputusan PMR dari 2005 hingga 2007. Daripada jumlah itu, 3,396 pelajar mendapat 9A dalam semua mata pelajaran, 17,969 (8A) dan 5,013 (7A). Seramai 235,510 pelajar atau 51.2 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, 82,627 pelajar (18 peratus) dalam dwi-bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris), manakala 124,209 pelajar (26.9 peratus) menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 245,887 pelajar (53.2 peratus) menggunakan kedua-dua bahasa. ( Eputra 2008)

Seramai 10,080 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya memperoleh 10A atau lebih, 5,863 memperoleh 9A dan dan 5,909 calon mendapat 8A. Daripada 442,936 calon yang menduduki peperiksaan itu, 347,443 lulus dan mendapat sijil, berbanding berbanding 347,032 pada 2007. Selain tu, 181,416 calon lulus semua mata pelajaran berbanding hanya 175,452 calon pada tahun sebelumnya.Sejumlah 6,277 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 5,060 calon pada 2007.Daripada jumlah itu, seramai 1,676 memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 892 pada tahun sebelumnya. Seramai 181,416 atau 46.7 peratus calon lulus semua mata pelajaran yang diambil berbanding pada 2007 iaitu seramai 175,452 calon. (Eputra 2008 & Malaysia Today 2009)

4.0 PANDANGAN DAN CADANGAN

Walaupun statistik bagi ketiga-tiga ujian penilaian menunjukkan tiada penurunan prestasi bagi matapelajaran Sains dan Matematik, ianya seakan tidak selari dengan beberapa siri kajian yang telah dijalankan beberapa orang pengkaji. Kajian oleh Juriah Long(2005) dan Isahak Harun et., al (2008) ke atas keberkesanan PPSMI di sekolah menengah dan sekolah rendah menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif. Ini kerana ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar.Selain itu, peningkatan yang ditunjukkan oleh pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris adalah terlalu sedikit dan tidak boleh dibanggakan.

Terdapat pelbagai respon yang boleh dilihat apabila memperkatakan tentang isu PPSMI ini. Ianya seolah-olah sudah menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Ada yang menyokong, dan tak kurang juga yang membantah pelaksanaan PPSMI ini. Bagi yang membantah, PPSMI kelihatannya seperti menjadikan yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Keputusan SPM 2008 menunjukkan sejumlah 60,902 calon dari SMK mendapat sekurang-kurangnya Gred 6C dan 2,589 mendapat keputusan gagal atau Gred 9G dalam mata pelajaran bahasa Inggeris (Alimuddin Mohd Dom 2009). Bahasa Melayu kelihatannya bakal tercicir kerana dengan pelaksanaan PPSMI, peratusan pendedahan bahasa Melayu di sekolah menengah menjadi hanya sekitar 30%, tingkatan enam 20% dan Universiti hanya 10% ( Shaharir Mohd Zain 2009: 8). Dengan pendedahan ini, mungkinkah suatu hari nanti rakyat Malaysia akan hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan sahaja?

Selain itu, dapatan kajian Zainudin Bikum (2004) dalam kalangan sampel murid Tingkatan 1 di dua buah sekolah menengah di Kuala Kubu Baharu menunjukkan purata hanya 5% hingga 15% pelajar yang dapat menjawab soalan-soalan ujian Sains dalam bahasa Inggeris. Ini kerana mereka “sukar/kadang-kadang sukar” memahami pengajaran guru Sains dalam bahasa Inggeris. Jika dilihat, kawasan Kuala Kubu Baharu adalah kawasan yang dikategorikan sebagai pinggir bandar jelas menunjukkan kesukaran para pelajarnya untuk menguasai subjek Matematik dan Sains yang diajar didalam bahasa Inggeris. Faktor utama adalah kerana bahasa pertuturan mereka di rumah mahupun di sekolah adalah bahasa Melayu.

Terdapat beberapa syor yang disuarakan oleh para pengkaji rentetan daripada beberapa siri kajian yang telah mereka jalankan. Antaranya adalah mereka menyarankan agar mata pelajaran Matematik dan Sains kembali diajar dalam bahasa ibunda. Menurut mereka bahasa Inggeris bukan bahasa pengantar yang mudah dan berkesan bagi meningkatkan pembelajaran dan prestasi sains dan matematik untuk kebanyakan pelajar di Malaysia. Guru Sains dan Matematik telah pun menguasai bahasa Melayu secukupnya bagi mengajarkan konsep dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Pelajar juga rata-rata mahir dalam bahasa Melayu bagi mempelajari sains dan matematik dalam bahasa tersebut, berbanding bahasa Inggeris. Mereka juga menyarankan agar kerajaan memperuntukkan masa yang lebih untuk pengajaran bahasa Inggeris di peringkat rendah dan menengah. Bahan pengajaran dan pembelajaran dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris yang lebih berkesan hendaklah digunakan. Selain itu, dalam pengajaran Bahasa Inggeris, unsur-unsur yang mempunyai kaitan dngan sains, matematik, sejarah, geografi dan sastera boleh dimasukkan sebagai bahan pengajaran-pembelajaran. (Isahak Haron et., al 2008)

Dengan itu pelajar dapat belajar secara serentak berkenaan kemahiran berbahasa Inggeris dan “kandungan ilmu” bagi memperkembangkan perbendaharaan kata dan penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks pelbagai disiplin. Pengajaran bahasa Inggeris lebih berkesan jika diajar oleh guru yang mahir dan terlatih dalam bahasa Inggeris, bukan oleh guru sains dan matematik.


5.0 KESIMPULAN

Beberapa siri kajian yang telah disebutkan diatas bukan bertujuan untuk menidakkan kepentingan bahasa Inggeris, kerana amat diakui bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang kukuh di peringkat rendah dan menengah adalah asas untuk pembelajaran dan perluasan ilmu dalam semua bidang, termasuk dalam Sains dan Matematik. Namun, perlaksanaannya haruslah bertepatan dengan konteks perlembagaan dan pendidikan di Malaysia.


disediakan oleh:

Siti Nadia bt. Khalid dan
Nik Hidayatul Nursaadah bt. Husin



RUJUKAN

Abdullah Morad.2008. Matematik Dan Sains Tidak Jejas Keputusan UPSR 2008. Diperoleh daripada http://pmr.penerangan.gov.my/chainmorad/?p=35

Abdul Aziz Bari.2009.PPSMI dalam Konteks Perlembagaa. Seminar Halatuju Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. KUIS: Bangi.

Alimuddin Mohd Dom.2009. Kenyataan berhubung keputusan SPM 2008. Diperoleh daripada http://eputra.com/analisa-keputusan-peperiksaan-spm-2008/

Bill Templer.Tanpa Tarikh. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Diperoleh daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengajaran_dan_Pembelajaran_Sains_dan_Matematik_dalam_Bahasa_Inggeris

EPutra.2008.Analisa Keputusan PMR 2008. Diperoleh daripada http://eputra.com/analisakeputusan-pmr-2008/

Isahak Haron, Abdul Latif Gapor, MD Nasir Masran, Abdul halim Ibrahim & Mariam Mohamed Nor.2008. Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah. UPSI: Tanjong Malim.

Juriah Long.2003. Keberkesanan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris Dalam Konteks Kepelbagaian Pelajar. Kertas Cadangan Penyelidikan Tajaan DBP (tidak diterbitkan).

Malaysia Today.com.2009. Keputusan SPM Tahun Ini Baik. Diperoleh daripada http://www.malaysiatoday.com/Berita/keputusan-spm-tahun-ini-baik.html

Mat Rofa Ismail.2009.Benarkah PPSMI memartabatkan Pendidikan Negera. Seminar Halatuju Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. KUIS: Bangi.

Mok Soon Sang. 2009.Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd: Selangor

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Rangka Rancangan Jangka Panjang ke-9 (2006-2010). Diperolehi daripada http://www.moe.gov.my/pipp/

Shaharir Mohd Zain. 2009.Tercapaikah Impian Bahasa Melayu Malaysia Menerusi PPSMI. Seminar Halatuju Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. KUIS: Bangi.

Shaharir Mohamad Zain. 2005. Beberapa Akibat daripada Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Malaysia: Suatu Penilaian Empiris dan Teori, kertas kerja Kongres Pendidikan Melayu ke-2, anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM), di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre, Kuala Lumpur, 26-27 Mac, 2005.

Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid.Tanpa Tarikh. Kenyataan berhubung PPSMI. Diperoleh daripada http://www.pkpim.net

Zainuddin Bikum. 2006. Kesan Pengajaran Sains Tingkatan 1 dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Daerah Hulu Selangor, disertasi Sarjana Pendidikan UPSI.

7 comments:

  1. somad dapat D in BM & BI. Science dpt C & Mathematic dapat B. Ntah la....makin complecated belajar sekarang. Budak dajah satu belajar macam dajah empat sekarang nih.
    Rasanya macam tak nak anto anak sekolah je....baik anto pondok, gi ngaji quran...then jadi tahfiz....
    Rasa macam mengarut je belajar mathes & science dalam BI. Bukannany dengan belajar dua mende tu bleh cakap omputeh berabuk.
    Rasanya orang2 jepun tu satu habuk tak pandai cakap english...tapi bleh je jadi negara maju.

    ReplyDelete
  2. Takde apa yg nak dibanggakan dgn PPSMI..guru & pelajar, sama-sama tertekan..

    Rasa-rasanya zaman dulu belajar lagi seronok..

    ReplyDelete
  3. Bagaimana pula pendapat anda tentang 10 subjek dalam SPM?

    ReplyDelete
  4. kenapa sains matematik dalam Bi..kenapa xbelaja sejarah je dalam Bi...xpun muzik..keh2.xtau la.pening la ngan urusan dunia ni.

    ReplyDelete
  5. salam, ana pun x setuju dgn ppsmi, tp dari satu sudut janganlah kita terlampau 'anti bahasa inggeris' kerana kalau kita menyedari akan hakikat bahasa bukanlah milik manusia tetapi milik Allah,InsyaAllah kita akan menyintai semua bahasa. Walau macam mana pun ana tetap x bersetuju ngn ppsmi

    ReplyDelete
  6. Omenieyra
    -yeke omad dapat result camtu??ciannye..bM yang sepatutnye membantu tu pn cam tak memebantu dek penekanan cikgu pada Bi yang agaknya berlebih2an...kesian koi tgk assignment(keje skolah)BM omat baru ni...mcm bukan yang darjah 1 punye keje skolah...susah benor...tp koi nampak omat tu rajin...inshaAllah, omat pasti boleh!

    p/s:- koi sokong kalo aok nak anto omat ke sek tahfiz...sokong sangat3! lagi terjamin dunia akhirat...

    nohas
    -betul! sy sangat setuju...! sy as bakal guru biology ni rase sangat xbest nak mengajar dalam BI...barrier ngan pelajar sangat ketara cz kita xbebas bercakap secara spontan...

    Farid Rashidi
    -pendapat peribadi sayakah? bagi saya, itu satu lg 'kerja gila' (maaf kasar bahasanya) namun itulah hakikatnya bilamana pelajar aliran agama yang terang2 punya subjek lebih daripada 10 terpaksa memendekkan senarai matapelajaran mereka...-alangkah baik jika kita pk dulu sebelum buat apa-apa keputusan...its totally nonsence...

    park chick
    -tula kan...senang2 blaja je BM dalam BI...habis cerita..

    MZurhainIsmail
    -wsalam...ana bukan memberi nilaian untuk merendah2kan dan memperlekehkan bahasa inggeris...tidak sama sekali kerana bahasa itu ciptaanNya...cuma,jika nta lihat pada tulisan ana diatas, tidak setuju ana berlandaskan 'dalil2' yang 'qat`i' yang dikutip daripada perlembagaan malaysia sendiri...islam itu waqiiyyah...setempat...jika sudah terang perkara itu, tak perlulah disuluh lg, xg2?
    betul, ana pn xsokong PPSMI...mansuhkan PPSMI!

    ReplyDelete
  7. respon kepada aliran agama tulen dihadkan sepuluh subjek je.aliran sains agama 11 subjek(start 2010 balik jd 10).pakcik xtau cmne syarat budak2 aliran agama ni bila memohon lanjutan pelajaran.pendapat pakcik dalam sepuluh subek tu dah cukup untuk syarat masuk mana2 universiti...matapelajaran agama yg selebihnya di amik sebagai ilmu, belajar tapi xdak dalam SPM.dinilai oleh sekolah sendiri.wallahu'alam.

    ReplyDelete

.::.Jom Kuliah.::.

Merah: Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi Koko : Masjid Jamek, Kajang Hijau: Surau Saujana Impian, Kajang