♥ Ya ALlah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Engkau.. Engkau mencipta-kanku, aku hamba-Mu dan ikrar pada-Mu semampuku... Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan apa yang aku perbuat, aku mengakui terhadap nikmat-Mu terhadapku dan aku mengakui atas dosaku, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau..amin ya Robb...♥

.::.Syukran!.::.

.::.JeMpuT SinGGaH.::.

.::.Peringatan Bersama.::.


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, October 27, 2007

~Bicara_Agama-02~


Beriman, beramal soleh kekal sebagai ahli syurga
Oleh: DR। ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-SOBUNI dalam Safwah al-Tafasir berkata: ’’Kemudian Allah s.w.t. menerangkan pembohongan Yahudi dan membatalkan segala sangkaan dan dakwaan mereka bahawa neraka tidak menyambar mereka dan mereka tidak kekal di dalamnya.’’
Syeikh al-Maraghi berkata: ’’Allah s.w.t. menyebut di sini beberapa ayat, sebahagian daripada jenis tipu daya dan dakwaan bahawa mereka adalah anak Allah s.w.t., kekasih dan rakyatNya yang terpilih. Justeru, Dia tidak mengazabkan selama-lamanya bahkan mengazabkan ayah terhadap anaknya, kekasih terhadap kekasihnya yang bersifat sementara, kemudian pasti ia meredainya.’’
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 81 dan 82)
Firman Allah s.w.t (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan bahkan Allah s.w.t. mengenakan kamu dengan neraka dan kekal di dalamnya sama seperti orang kafir yang melakukan dosa besar. Begitu juga siapa yang melakukan kejahatan.
Ibn ‘Abbas menafsirkan kejahatan dengan syirik. Inilah juga pendapat ‘Ikrimah, Abi Wail, Abi al-‘Aliyah, Mujahid, Qatadah dan Muqatil. Dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu sehingga menutup jalan-jalan keselamatan dengan sebab perbuatan kamu hai Yahudi. Ketika itu, ketika seorang terpenjara dalam kejahatan dan tertutup pintu taubatnya, maka pada saat itulah ia wajar menerima balasan adil yang tegas.
Al-Samarqandi dalam kitabnya, Bahr al-‘Ulum berkata: ‘’Iaitu seseorang yang mati dalam syirik dan sebahagian yang lain menafsirkan dengan maksud syirik dan dosa besar. Ini juga pendapat Mu’tazilah bahawa pelaku dosa besar akan dikekalkan dalam neraka.’’
Maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. Api neraka memamah mereka dan mereka kekal di dalamnya tanpa dapat keluar selama-lamanya.
Syeikh al-Sya'rawi berkata: ‘’Allah s.w.t. hendak menjelaskan pembohongan mereka. Justeru, al-Quran datang dengan perkataan bala iaitu huruf jawab seperti na’am (ya), tetapi bala merupakan huruf jawab bagi nafi iaitu menafikan yang sebelumnya sebagaimana kenyataan mereka, ‘’Kami tidak disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari’’ dan Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka, ‘’Adakah mereka telah membuat perjanjian dengan Allah s.w.t. atau hanya membuat kenyataan sedangkan mereka tidak mengetahui.’’ Lantas datang ayat tersebut.
Sayyid Qutub berkata: ‘’Adakah kejahatan itu suatu perolehan? Pengertian ’aqli yang dimaksudkan daripada kata-kata kasab (memperoleh) atau mendapati ialah melakukan kejahatan, tetapi ungkapan al-Quran ditujukan untuk menggambarkan keadaan jiwa yang diketahui umum, iaitu seseorang yang melakukan kejahatan itu biasanya ia melakukan dengan perasaan penuh kenikmatan dan menganggapnya sebagai suatu perolehan dan hasil pendapatannya – dalam satu bentuk pengertian – kerana andainya kejahatan itu tidak membawa kenikmatan kepada perasaannya, tentulah dia tidak melakukannya.
Dan andainya dia berasa kejahatan itu suatu kerugian kepadanya, tentulah dia tidak melakukannya dengan penuh ghairah dan tentulah dia tidak membiarkan kejahatan itu memenuhi hatinya dan melingkungi alam hidupnya.
Ini kerana tindakan yang wajar baginya apabila ia berasa kejahatan itu mendatangkan kerugian kepadanya ialah melarikan diri daripada kejahatan itu walaupun ia melakukan kerana terdesak dan memohon keampunan Allah s.w.t. dan mencari perlindungan pada yang lain daripada kejahatan.
Dalam keadaan ini, tentulah kejahatan itu tidak dapat melingkungi dan memenuhi alam hidupnya dan tidak dapat menutup pintu hatinya untuk bertaubat dan membersihkan doa.
Ungkapannya ‘dilingkungi dosa’ menggambarkan maksud pengertian ini. Ia adalah salah satu daripada ciri pengungkapan al-Quran yang amat jelas dan ketara.
Gambaran ini menerapkan kesan yang berlainan dalam hati daripada kesan yang disampaikan oleh pengertian mental semata-mata dan pengungkapan-pengungkapan mental yang tidak mempunyai sebarang bayangan dan harakat.
Mana-mana pengungkapan mental yang menerangkan sikap kedegilan melakukan kejahatan itu tidak dapat menerangkannya sejelas bayangan al-Quran yang menggambarkan pelaku kejahatan itu sebagai seorang yang dipenjarakan oleh kejahatan itu, di mana dia hidup dalam lingkungan kejahatan, bernafas dalam suasana kejahatan, hidup bersama kejahatan dan untuk kejahatan.
Firman Allah s.w.t. menceritakan sifat orang yang beriman dan balasannya dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, mereka yang menggabungkan antara keimanan dan amalan soleh pada masa kehidupan mereka di dunia, nescaya mereka tidak disentuh dengan api neraka.
Mereka yang bersifat beriman dengan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., beramal dengan segala ketaatan iaitu menunaikan kewajipan dan menjauhi daripada segala maksiat. Mereka menghuni syurga-syurga Allah s.w.t. yang indah sebagaimana penerangan Allah s.w.t..
Apabila Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran, azab dan neraka akan datang selepas itu tempat yang berlawanan iaitu nikmat dan syurga untuk memperlihatkan kepada kita perbezaan yang amat ketara, di mana dikurniakan kepada orang yang beriman dengan kebahagiaan kerana ia dilindungi daripada azab akhirat.
Mereka dapat menghuni syurga Allah s.w.t. yang kekal di dalamnya dengan aneka nikmat. Justeru, kebahagiaan di akhirat bukan di atas satu darjat sahaja tetapi dua darjat.
Yang pertama, diselamatkan daripada neraka termasuk golongan a’raf. Mereka ini mendapat kejayaan yang besar. Cukup kamu melintasi sirat yang merentasi atas neraka dan dapat melihat pelbagai azab.
Kemudian kamu selamat daripadanya sebagai petanda kemenangan yang besar kerana orang kafir pada ketika ini bercita-cita kalau mereka dapat ditukarkan kepada tanah supaya mereka tidak masuk ke neraka.
Kemudian apabila masuk ke dalam syurga, diberi nikmat yang kekal abadi, maka inilah kemenangan yang kedua. Dengan sebab itulah Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita dua marhalah kegembiraan iaitu selamat daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga sepertimana firmanNya dalam Surah Ali-‘Imran: 185.
Merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya. Sayyid Qutub berkata: ‘’Di antara kehendak-kehendak keimanan ialah kemunculan dari dalam hati seseorang (ke alam kenyataan) dalam bentuk amalan-amalan soleh. Inilah hakikat yang pasti difahami oleh setiap orang yang mengaku beriman. Alangkah perlunya hakikat ini disedari oleh setiap kita yang mengaku sebagai orang Islam. Keimanan itu tidak wujud sehingga muncul daripadanya amalan-amalan soleh.
“Orang-orang yang mengaku sebagai orang-orang Islam kemudian melakukan kerosakan di bumi dan memerangi hakikat kebaikan yang utama iaitu menegakkan sistem hidup Ilahi di bumi, menegakkan syariatNya dalam kehidupan dan mengamalkan akhlak-akhlak yang diajar oleh-Nya dalam pergaulan masyarakat, maka mereka adalah orang yang tidak mempunyai keimanan sedikit pun dan tidak mendapat apa-apa pahala daripada Allah s.w.t.. Dan tiada siapa yang dapat melindunginya daripada azab Allah s.w.t. walaupun mereka berangan-
angan seperti angan-angan orang Yahudi sebagaimana telah dijelaskan Allah s.w.t. kepada mereka dan kepada seluruh manusia dengan penerangan itu.’’
Ya Allah, jadilah kami termasuk di kalangan ahli syurga.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

.::.Jom Kuliah.::.

Merah: Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi Koko : Masjid Jamek, Kajang Hijau: Surau Saujana Impian, Kajang